Showing posts with label Sukan. Show all posts
Showing posts with label Sukan. Show all posts

Monday, 13 May 2013

Trofi terakhir Ferguson


MANCHESTER: Perlawanan terakhir Alex Ferguson sebagai pengendali Manchester United berkahir dengan kejayaan 2-1, pada perlawanan Liga Perdana ke atas Swansea City, di Old Trafford, dan penyokong memberikan tepukan gemuruh penuh emosi buat pengurus paling lama berkhidmat dengan kelab itu, awal pagi tadi.
Pemain pertahanan, Rio Ferdinand menyumbat gol kemenangan untuk juara hanya tiga minit sebelum perlawanan tamat, satu lagi jaringan lewat bagi meraikan perkhidmatan 26 tahun Ferguson buat kelab itu. 
Ferguson, pada perlawanan ke-1,499 menerima sambutan gemuruh daripada penyokong dan pemain kedua-dua pasukan ketika dia berjalan untuk mendapatkan pasukannya di dalam hujan. 

Dia kemudiannya memegang mikofon dan berkata: “Semua yang bersama kelab dan penyokong adalah pengalaman paling bernilai dalam hidup saya.
Foto

"Terima kasih. Saya adalah pengurus yang bernasib baik untuk mengurus pemain terbaik. Mereka memenangi kejuaraan dengan begitu bergaya sekali. Tahniah kepada mereka.

“Apabila kita melalui waktu yang sukar, semua bersama saya dan tugas baru anda ialah terus bersama pengurus baru (David Moyes).” 

Apabila Ferguson meninggalkan padang, pemain United masuk ke padang untuk menerima trofi Liga Perdana yang juga gelaran juara kali ke-20 buat kelab itu.

Ketua pasukan United, Nemanja Vidic menerima trofi berkenaan tetapi kemudian dia menyerahkannya kepada Ferguson. 

Ferguson jelas membuktikan keberanian apabila mengetepikan penyerang Wayne Rooney daripada skuad yang kemudian mencetuskan spekulasi mengenai masa depan pemain itu. 

Pemain tengah, Paul Scholes, yang membuat kemunculan ke-717 dan terakhir untuk United, digantikan selepas 66 minit perlawanan berlangsung dan meninggalkan padang dengan tepukan gemuruh. 

Ryan Giggs, yang beraksi untuk Ferguson bagi kesemua 13 gelaran menggantikan rakan sepasukannya ketika Swansea bertali arus menyerang kubu tuan rumah tetapi United pula yang menemui gol kemenangan. 

Jelas sekali dengan suasana karnival dan hujan renyai di Old Trafford, United memberikan hadiah sempurna pada hari persaraan Ferguson dan Scholes. - Agensi
Sumber : Harian Metro
Reply To This Comment

Thursday, 9 May 2013

Ferguson umum bersara

FERGUSON membuat keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai pengurus Manchester United yang disandangnya sejak November 1986.


LONDON - Alex Ferguson akan melepaskan jawatan sebagai pengurus kelab Liga Perdana England, Manchester United pada akhir musim ini.
Berita persaraan pengendali kelahiran Scotland berusia 71 tahun tersebut diumumkannya semalam.
Ferguson membimbing skuad The Red Devils sejak November 1986 dan beliau boleh dianggap sebagai pengurus paling berjaya dalam sejarah bola sepak England.
Sepanjang 26 tahun berada di Old Traf- ford, beliau membantu United memenangi 13 gelaran Liga Perdana, lima Piala FA, empat Piala Liga dan dua trofi Liga Juara- Juara selain beberapa penghormatan yang lain.
United menjulang trofi ke-20 Liga Perdana England bulan lalu selepas terlepas gelaran juara kepada musuh tradisi, Manchester City tahun lepas.
Di bawah bimbingan Ferguson, United menjadi salah sebuah kelab yang terkenal dalam sukan dunia dan majalah perniagaan Amerika Syarikat (AS), Forbes melaporkan baru-baru ini bahawa mereka memperoleh keuntungan berjumlah AS$3.17 juta (RM9.4 juta).
Spekulasi mengenai persaraan itu hangat diperkatakan sehingga kelmarin tetapi Ferguson berkata, beliau sudah lama menimbangkan perkara tersebut.
"Keputusan untuk bersara bukan sesuatu yang menarik untuk dilakukan dan saya tidak membuat keputusan terburu-buru. Ini adalah masa yang tepat.
"Adalah sesuatu yang penting bagi saya untuk meninggalkan kelab itu di kedudukan yang terbaik dan saya yakin saya telah me- lakukannya," kata Ferguson dalam satu kenyataan semalam.
Ferguson yang akan kekal di United sebagai seorang pengarah dan duta kelab berkata, beliau yakin dengan keputusannya bersara daripada jawatan pengurus ketika skuad The Red Devils berada dalam situasi terbaik.
"Kualiti skuad ini adalah memenangi liga dan umur pemain yang seimbang. Ia merupakan suatu petanda baik untuk melakar kejayaan yang berterusan di peringkat tertinggi.
"Struktur pemain remaja akan memasti- kan kelab ini mempunyai masa depan yang cerah dan kekal sebagai sebuah kelab yang hebat.
"Sepanjang sedekad yang lalu, keluarga Glazer memberikan saya platform untuk menguruskan United berdasarkan kemampuan saya," katanya.
Terdapat laporan yang mendakwa, pengurus Everton, David Moyes sebagai calon terbaik bagi menggantikan Ferguson.
Pengurus Real Madrid, Jose Mourinho juga pernah dikaitkan dengan jawatan itu. - Agensi
Sumber : Kosmo
Reply To This Comment

Sunday, 28 April 2013

Van Persie tak layak

London: Arsene Wenger langsung tidak menghiraukan bekas pemainnya di Arsenal, Robin van Persie apabila menegaskan Michael Carrick sepatutnya menjadi Pemain Terbaik Tahunan.
“Saya lebih senang memilih Carrick. Dia boleh bermain di Barcelona dan boleh menyesuaikan diri dengan gaya permainan mereka,” kata Wenger.

“Dia mempunyai pandangan yang bagus, seorang pemain yang bijak dan juga kerana apa yang dicapainya sepanjang karier.” Sumbangan 24 gol oleh Van Persie dalam 31 perlawanan bersama Manchester United melonjakkan kelab itu ke mercu kegemilangan selepas berpindah dari Arsenal dengan bayaran £22 juta (RM103.2 juta) musim lalu.
Penyerang Belanda berusia 29 tahun itu sudah pasti akan menerima layanan kasar sebaik kembali ke Stadium Emirates sebagai juara bersama United malam ini.

Begitupun Wenger berkata, rakan sepasukan RvP, Carrick, 31 lebih layak menerima anugerah Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) itu.

“Robin pernah mengalami kemarau jaringan pada satu ketika. Undian dibuat pada masa itu dan ia mungkin akan memberi kesan kepadanya.
Foto
VAN Persie.
“Luis Suarez pula memusnahkan peluang meraih ganjaran itu! Anda juga ada Gareth Bale tetapi Carrick adalah pemain yang kurang diberi tumpuan di England.

“Ada kalanya bukan saja penyerang perlu diberi ganjaran tetapi juga pemain sejati yang menjadi nadi permainan. Carrick berhak menerimanya.
“Saya akan memilih Carrick kerana Robin sudah mendapatkannya musim lalu. Berikan saja kepada pemain yang berbeza. Dia melakukan hantaran berkualiti.” Wenger turut menegaskan beliau tidak mempunyai masalah jika pemainnya mengucapkan tahniah kepada United kerana kejayaan mereka sebelum perlawanan utara London malam ini.

“Dalam hidup, lakukan sebaik mungkin dan jika ada yang lebih kuat daripada anda, hormati mereka,” katanya.

“Ia bukan mudah tetapi saya bangga bekerja di England di mana budayanya menghormati mereka yang menang.” - Agensi
Sumber : Harian Metro
Reply To This Comment

Thursday, 25 April 2013

Kejutan gigitan Suarez

Foto
INSIDEN yang menyebabkan Suarez digantung 10 perlawanan

LONDON: Penyerang Liverpool, Luis Suarez digantung 10 perlawanan oleh Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris atas kesalahan melakukan keganasan dengan menggigit pemain pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic.

Suarez menerima pertuduhan melakukan keganasan selepas insiden yang berlaku dalam perlawanan Liga Perdana di Anfield yang berkesudahan seri 2-2, namun mempersoalkan pandangan FA bahawa dia patut digantung lebih daripada 3 perlawanan atas kesalahannya.

Suruhanjaya Bebas yang bersidang di London semalam untuk membuat keputusan mengenai tempoh penggantungan sesuai buat penyerang antarabangsa Uruguay itu menambah tujuh perlawanan sebagai tambahan kepada tiga yang lazimnya dijatuhkan untuk kesalahan melakukan keganasan.

Penggantungan berkuat kuasa serta-merta bermakna Suarez akan terlepas empat aksi perlawanan terakhir dan enam perlawanan pertama liga musim depan.

Liverpool, yang terkejut dengan keputusan berkenaan, mempunyai masa sehingga Jumaat ini untuk membuat rayuan.

Sumber : Harian Metro
Reply To This Comment

Tuesday, 23 April 2013

EPL: Hatrik Van Persie bantu MU juara kali ke-20

van Persie
van Persie
MANCHESTER United (MU) dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali ke-20 selepas Robin Van Persie menjaringkan hatrik untuk menewaskan Aston Villa 3-0 di Stadium Old Trafford, awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Kemenangan itu membuatkan MU menjadi pasukan pertama yang berjaya merampas semula piala EPL setelah dimenangi Manchester City musim lalu.

Ketika saingan liga berbaki empat perlawanan, MU kini gah di tangga teratas dengan 84 mata - kelebihan 16 mata di depan Manchester City dan ia hanya sebagai pelengkap dan rekod untuk MU memintas jumlah 95 mata yang dimiliki Chelsea bersama Jose Mourinho.

Dalam perlawanan itu, Van Persie menjaringkan gol pada minit kedua, ke-13 dan ke-33.

Difahamkan trofi EPL akan diserahkan pada perlawanan terakhir di Old Trafford semasa pertemuan dengan Swansea bulan depan.


Sumber : Sinar Harian
Reply To This Comment

Monday, 15 April 2013

Malaysia julang Piala Axiata 2013

CHONG WEI (dua dari kanan) menjulang Piala Axiata selepas menerimanya daripada Rosmah (kanan, depan) selepas tamat perlawanan akhir di Stadium Badminton Cheras, Kuala Lumpur semalam.


SKUAD badminton negara muncul juara Kejohanan Badminton Piala Axiata 2013 apabila menundukkan Thailand 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Badminton Cheras, Kuala Lumpur semalam.

Ternyata kejutan yang dilakukan pemain No. 1, Datuk Lee Chong Wei untuk tampil buat kali pertama pada Piala Axiata berjaya menguatkan lagi strategi skuad negara untuk mengungguli kejohanan berpasukan berprestij itu.

Mengulas mengenai kemenangan itu, ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek menjelaskan bahawa kehadiran Chong Wei telah menambahkan lagi keyakinan para pemain untuk tampil dengan lebih bersemangat.

"Kalau kejohanan berpasukan, kita (Malaysia) memang susah hendak menang kerana pasukan-pasukan lain lebih kuat.

"Malam ini (semalam), kehadiran Chong Wei membantu melonjakkan semangat berpasukan dalam kalangan pemain, dan saya juga yakin dapat meraih mata menerusi perseorangan lelaki," kata Rashid.

Selaku juara, skuad negara membawa pulang hadiah wang wang tunai AS$400,000 (RM1.2 juta) dengan trofi kejuaraan, manakala Thailand yang meraih tempat kedua menerima AS$200,000 (RM608,500)

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datin Seri Rosmah Mansur, Presiden BAM, Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Seri Jamaludin Ibrahim.

Pada aksi tersebut, skuad negara ketinggalan 0-1 apabila perseorangan wanita, Sonia Cheah Su Ya tewas 16-21, 17-21 kepada pemain No.8 dunia, Ratchanok Intanon pada perlawanan pertama.

Begitupun, Malaysia kembali menyamakan kedudukan menerusi gandingan mantap beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang mudah menundukkan Sudket Prapakamol-Saralee Thoungthongkam untuk mengikat Thailand 1-1.

Pada aksi kedua itu, beregu campuran No. 5 dunia itu mengalahkan Prapakamol-Thoungthongkam (No. 6) 21-16, 21-12. 

Chong Wei yang tampil dalam perseorangan lelaki, menyumbangkan mata kedua negara apabila menewaskan pemain No. 25 dunia, Tanongsak Saensomboonsuk 21-12, 21-18.

Kemenangan Malaysia disahkan oleh beregu utama negara, Tan Boon Heong-Koo Kien Keat yang menewaskan Boonsak Ponsana-Songphon Anugritayawon 21-10, 21-17.

Pada edisi pertama tahun lepas, kedua-dua pasukan negara, Malaysia Tiger dan Malaysia Leopard tersingkir pada pusingan separuh akhir selepas tewas kepada Indonesia Garuda dan Indonesia Rajawali.

Sumber : Kosmo
Reply To This Comment

Thursday, 4 April 2013

TMJ letak jawatan Presiden PBNJ

TUNKU ISMAIL
Tunku Ismail Sultan Ibrahim
 
TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meletak jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

Menurutnya, keputusan itu diambil setelah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan juga hasil perbincangan bersama Penasihat Undang-undang Negeri Johor.

"Keputusan ini saya buat kerana saya merasakan jika saya memegang jawatan sebagai presiden dan pada masa yang sama saya juga adalah Tunku Mahkota Johor, maka amat sukar untuk saya mentadbir urus PBNJ yang sentiasa terikat dengan undang-undang dan peraturan FAM.

"Oleh kerana itu, saya membuat keputusan untuk menjadi dan mentadbir PBNJ sebagai Penaung, serta-merta mulai hari ini.

"Jawatan baru ini akan membuka lebih banyak ruang dan peluang dan juga kelebihan bagi saya mentadbir urus dalam PBNJ termasuklah dalam aspek pengurusan kewangan, kebajikan kakitangan PBNJ dan juga pemain-pemain di samping dapat membuat keputusan yang lebih tepat apabila saya memegang jawatan di peringkat tertinggi dalam persatuan ini," katanya.

Pada masa yang sama, Tunku Ismail memaklumkan jawatan presiden akan disandang Datuk Obet Tawil yang juga Setiausaha Kerajaan Johor.

Kenyataan Tunku Ismail ini diperoleh menerusi e-mel yang dihantar Setiausaha Kehormat PBNJ, Mohd Fahmy Yahya kepada Sinar Harian.
 
BERIKUT KENYATAAN PENUH TUNKU ISMAIL:
"Saya, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Makhkota Johor, dengan ini ingin memaklumkan bahawa saya telah membuat keputusan dan mendapat titah perkenan dari DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Darul Takzim, dan juga hasil daripada perbincangan bersama Penasihat Undang-undang Negei Johor, dengan ini, saya meletakkan jawatan saya sebagai Presiden dalam Persatuan Bolasepak Negeri Johor.

Keputusan ini saya buat kerana saya merasakan jika saya "memegang jawatan sebagai Presiden dan pada masa yang sama saya juga adalah Tunku Mahkota Johor, maka amat sukar untuk saya mentadbir urus Persatuan Bolasepak Negeri Johor yang sentiasa terikat dengan undang-undang dan peraturan FAM.

Oleh kerana itu, saya membuat keputusan untuk menjadi dan mentadbir PBNJ sebgai Penaung, serta merta mulai hari ini. Ini kerana mengikut hirarki protokol, saya sebagai Tunku Mahkota Johor adalah selayaknya memegang jawatan sebagai Penaung dalam PBNJ. Dengan jawatan saya sebagai Penaung, ini akan membuka lebih banyak ruang dan peluang dan juga kelebihan bagi saya mentadbir urus dalam PBNJ termasuklah dalam aspek pengurusan kewangan, kebajikan kakitangan PBNJ dan juga pemain-pemain di samping dapat membuat keputusan yang lebih tepat apabila saya memegang jawatan di peringkat tertinggi dalam persatuan ini.

Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua penyokong bolasepak negeri Johor di seluruh pelusuk tanah air yang mana telah bersusah payah beramai-ramai memberi sokongan yang tidak terbatas kepada pasukan bola sepak negeri Johor selama ini. Sokongan padu daripada anda semua amatlah saya hargai dan saya harapkan agar ianya berterusan sampai bila-bila kerana dengan adanya sokongan anda, pasukan Johor boleh terus gah berdiri di persada bolasepak tanah air.

Untuk makluman semua, jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor Darul Takzim selepas ini akan disandang oleh Datuk Obet Bin Tawil, Setiausaha Kerajaan Johor. Saya berharap anda semua dapat memberi sokongan yang penuh kepada beliau dan anda semua tidak perlu risau kerana saya sentiasa berada di sini bersama anda semua sebagai Tunku Mahkota Johor dan juga saya akan sentiasa memantau dan mengikuti segala perjalanan dan juga aktiviti bola sepak negeri Johor ini dari perigkat akar umbi sehinggalah ke peringkat yang lebih global.

Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan penyokong-penyokong bolasepak negeri Johor yang selama ini menyokong dan memberi kepercayaan kepada saya dalam menaikkan nama baik PBNJ. Saya juga menyeru agar sokongan padu dari para penyokong akan sentiasa berterusan demi menaikan imej dan juga mutu pemain-pemain bolasepak negeri Johor dan juga PBNJ.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullah Hiwabarhakatuh."


Sumber : Sinar Harian
Reply To This Comment

Wednesday, 27 March 2013

Dipancing kelab Australia

Kuala Lumpur: Pemain muda negara nampaknya kini semakin ‘laris’ di pasaran luar negara. Selepas Wan Zack Haikal Wan Nor dan Nazirul Naim Che Hashim berjaya mengikat kontrak dengan kelab Liga Divisyen Tiga Jepun FC Ryukyu, dua lagi pemain Harimau Muda A berpeluang mengikut jejak langkah mereka.
Namun kali ini destinasinya bukan ke Jepun sebaliknya ke Australia.

Dua pemain itu, kapten dan pemain perancang tengah Mohd Irfan Fazail dan penyerang Rozaimi Abd Rahman yang kini mendapat perhatian salah sebuah pasukan elit Liga Australia.

Setakat ini tawaran yang diberikan kelab yang pernah menjadi juara liga itu hanyalah ujian pemilihan yang dijangka diadakan pada Ogos ini, namun perkembangan itu dianggap cukup baik oleh pengendali Harimau Muda A Ong Kim Swee.

Kim Swee yang enggan mendedahkan nama kelab berkenaan buat masa ini berkata, pihaknya sedang mengadakan perbincangan untuk menetapkan tarikh sesuai bagi menghantar Irfan dan Rozaimi menjalani ujian itu.


“Kelab itu sudah meminta kami untuk menghantar Irfan dan Rozaimi pada Ogos. Kemungkinan mereka akan ke sana dalam tempoh seminggu hingga dua minggu.


Foto

“Cuma buat masa ini tarikh sebenar belum ditetapkan dan ia masih dalam perbincangan. Perkara ini perlu diteliti sebelum membuat keputusan memandangkan skuad ini mempunyai jadual padat pada Ogos sebagai persiapan ke Sukan SEA Myanmar.

“Bagi saya walaupun ia hanyalah ujian pemilihan, tapi ia satu perkembangan positif kerana memberi peluang kepada Irfan dan Rozaimi mencuba nasib dengan kelab itu,” katanya ketika dihubungi Arena Metro di Slovakia semalam.

Menurut Kim Swee, aksi di pentas antarabangsa termasuk di pusingan kelayakan Olimpik dan aksi persahabatan dengan beberapa kelab di Gold Coast Australia bulan lalu membolehkan pasukan luar dapat melihat sendiri bakat yang dimiliki pemain muda negara.

Sebelum ini Wan Zack Haikal pernah menjalani ujian percubaan bersama FC Ryukyu Julai tahun lalu dan hasilnya pemain sayap itu berjaya mendapat kontrak selama dua tahun manakala Nazirul setahun.


Sumber : Harian Metro
Reply To This Comment

Monday, 11 March 2013

All England: Chong Wei gagal

Datuk Lee Chong Wei
$entry.content.caption.value
IMPIAN pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei untuk melakar hatrik dalam Kejohanan All England sekali lagi tidak kesampaian apabila kecundang di tangan pemain China, Chen Long  malam tadi.

Tahun lepas, Chong Wei gagal meraih gelaran hatrik apabila terpaksa menarik diri selepas mengalami kecederaan pada bahu kanan ketika aksi final menentang Lin Dan.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di National Indoor Arena, Birmingham itu, pemain pilihan pertama ini tewas 17-21 dan 18-21 dalam masa sejam.

Ketiadaan seteru utamanya, Lin Dan nyata gagal dimanfaatkan Chong Wei untuk memburu gelaran ketiga setelah memenanginya pada tahun 2010 dan 2011.

Dalam saingan perseorangan wanita, Baun Tine dari Denmark dinobatkan pemenang selepas mengalahkan Ratchanok dari Thailand 21-14, 16-21 dan 21-10.

Sementara itu, gandingan China, Wang Xiaoli/Yu Yang mengalahkan rakan senegara, Chenh Shu/Zhao Yunlei 21-18, 21-10 untuk menjulang kejuaraan dalam acara beregu wanita.

China turut mengungguli acara beregu lelaki apabila Liu Xiaolong/Qiu Zihan menewaskan Endo Hiroyuki/Hayakawa Kenichi dari Jepun 21-11 dan 21-9.
Sumber : Sinar Harian
Reply To This Comment

Sunday, 10 March 2013

All England: Chong Wei mara final


Lee Chong Wei
Lee Chong Wei











 PEMAIN nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei terus mempamerkan aksi cemerlang apabila  mara ke final Kejohanan All England selepas menundukkan pemain Thailand, Saensomboonsuk Tanongak sebentar tadi.
Chong Wei, yang memburu gelaran ketiga selepas menjuarai pada tahun 2010 dan 2011 mengalahkan Saensomboonsuk 22-20 dan 21-8 dalam masa 33 minit.

Pada perlawanan final esok, Chong Wei akan menentang pemain China, Chen Long atau pemain Denmark, Jorgensen Jan.
Sumber : Sinar Harian
Reply To This Comment

Saturday, 9 March 2013

Tunku Ismail akur dengan hukuman FAM

TAUFIK (tengah) ketika mengumumkan hukuman gantung enam bulan ke atas Tunku Ismail selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM di Kelana Jaya semalam.


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim akur dengan segala keputusan dan tindakan undang-undang yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap baginda.
Tunku Ismail dalam satu kenyataan semalam bertitah bahawa baginda menghormati keputusan yang dibuat oleh FAM berhubung dengan laporan media yang dibuat pada 20 Februari lalu dan semuanya dianggap telah selesai.
Sehubungan itu, baginda menasihatkan para penyokong Johor supaya sentiasa menjaga disiplin dan tatatertib serta tidak terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang negatif.
Semalam, Tunku Ismail digantung enam bulan daripada terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak selain didenda RM18,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM berkuat kuasa semalam.
Tunku Mahkota Johor itu didapati bersalah melanggar Artikel 88 Statut FAM kerana mengkritik mutu pengadilan bola sepak tempatan yang disifatkannya tidak mencapai standard yang diharapkan.
Baginda antara lain telah menggesa FAM untuk mengkaji kelemahan tersebut agar mutu pengadilan dalam Liga M lebih efisen.
Jawatankuasa Tatatertib dalam mesyuaratnya petang semalam turut mengenakan denda RM30,000 ke atas PBNJ kerana insiden pembakaran suar oleh penyokong Johor Darul Takzim ketika pasukan itu menentang Negeri Sembilan pada 2 Mac lalu.
Dalam pada itu, dalam kenyataan dua muka surat itu, Tunku Ismail juga ingin mengingatkan bahawa PBNJ merupakan persatuan bola sepak yang paling profesional dalam negara ini dengan struktur serta pengurusan yang kuat dan tersusun.
Baginda juga bertitah, mahukan penyokong Johor mempunyai sikap berhemah, selain mempunyai semangat kesukanan tinggi yang boleh menjadi kebanggaan dalam kalangan penyokong bola sepak di seluruh negara.
“Saya masih bersama-sama kamu semua sebagai Tunku Mahkota Johor dan saya akan sentiasa memastikan bahawa kita (Johor) akan menjadi satu pasukan yang kuat dan disegani di negara ini,” titah baginda.
Sumber : Kosmo
Reply To This Comment

Tuesday, 26 February 2013

Kejutan Fakri!

Ahmad Fakri SharaniAhmad Fakri Sharani
Kuala Lumpur: 'Permainan' apakah yang sebenarnya sedang berlaku? 

Persoalan itu harus mengusik minda peminat bola sepak negara apabila dikejutkan dengan berita kepulangan semula Ahmad Fakri Sharani (gambar) dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) selepas tidak sampai dua bulan beraksi bersama kelab divisyen tiga Portugal, Atletico SC. Ahmad Fakri yang menandatangani kontrak enam bulan dan beraksi bersama Atletico sejak bulan lalu disahkan sudah menandatangani kontrak dua musim dengan Kelantan - sekali gus akan beraksi bersama The Red Warriors (TRW) sebaik pendaftaran kedua pemain dibuka, April ini. 

 
Faktor ejen Guimaraes? 

Jika sebelum ini Ahmad Fakri bertegas terus kekal bersama Atletico SC, yang pasti kepulangannya untuk kembali beraksi dalam Liga-M akan menimbulkan banyak persoalan dan mencipta polemik baru - pemain tempatan yang beraksi di luar negara sekadar 'hangat-hangat tahi ayam'. 

Ini kerana dia bukan pemain pertama yang pulang dalam tempoh singkat kerana sebelum ini peminat dikejutkan dengan kepulangan bintang muda negara, Mohd Nazmi Faiz Mansor dari kelab Portugal, SC Biera Mar selepas hanya enam bulan bersama kelab divisyen satu itu. 

Menariknya, pemergian Ahmad Fakri dan Mohd Nazmi beraksi dengan kedua-dua kelab Portugal itu diuruskan oleh ejen Marco Guimaraes.


Sumber : Berita Harian
Reply To This Comment

Wednesday, 20 February 2013

Lin Dan buat hal!

Kuala Lumpur: Lin Dan terus mencabul peraturan ditetapkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) apabila tidak menyertai Siri Super Perdana Seluruh England pada 5-10 Mac sekali gus menyaksikan perebutan kejuaraan kali ini terarah kepada pemain nombor satu dan dua dunia, Datuk Lee Chong Wei dan Chen Long (China).
Mengikut peraturan BWF, semua pemain berada dalam ranking 10 teratas dunia wajib menyertai semua lima kejohanan berstatus Siri Super Perdana.

“Tapi, Persatuan Badminton China (CBA) langsung tidak menyenaraikan nama Lin Dan untuk kejohanan ini,” kata Pengurus Pemasaran Siri Super BWF, S Selvam.
Beliau mengesahkan, juara bertahan itu akan didenda AS$5,000 (RM15,512) kerana gagal menyertai kejohanan diwajibkan ke atas setiap pemain kelompok 10 terbaik dunia itu.

“Untuk Seluruh England, kami mengambil kira ranking dunia terakhir pemain pada November 2012 dan dia ketika itu berada di ranking kelapan dunia.

“Jika penganjur (England) membuat aduan dan mahu Lin Dan hadir, kami (BWF) akan menghantar surat kepada CBA, meminta pemain itu menghadirkan diri dan meminta surat tunjuk sebab mengapa dia tidak mengambil bahagian,” kata Selvam.
Foto
Lin Dan
Berdasarkan ranking semasa, Lin Dan kini berada di kedudukan ke-14 dunia.

Chong Wei pula enggan memandang isu lain selain fokus kepada permainannya pada kejohanan itu.
“Tidak kira siapa juga lawan kerana tanpa Lin Dan, status sebagai nombor satu dunia sentiasa menjadi buruan pemain lain yang mahu menewaskan saya,” kata Chong Wei, juara 2010 dan 2011 serta naib juara tahun lalu.

Pemain utama negara itu membuka saingan menentang pemain Hong Kong, Wong Wing Ki pada pusingan pertama dan diramal mudah ke final, dengan pemain seperti Wang Zhengming (China), Nguyen Tien Minh (Vietnam), Du Pengyu (China), Hu Yun (Hong Kong) serta Sho Sasaki (Jepun) dan Taufik Hidayat (Indonesia) berada dalam laluannya memburu kejuaraan ketiga di England.

Chen Long yang layak ke suku akhir tahun lalu pula meniti laluan lebih getir berbanding Chong Wei.

Selepas berdepan pemain Thailand, Boonsak Ponsana pada pusingan pertama, Kenichi Tago (Jepun) dijangka menjadi lawan di suku akhir dengan kemungkinan pemain yang kembali meningkat prestasi, Sony Dwi Kuncoro (Indonesia) ataupun Chen Jin (China) menjadi lawan separuh akhir.
Sumber : Harian Metro
Reply To This Comment

Wednesday, 13 February 2013

Tiga pemain kekang Ronaldo

pix_topright 
Manchester: Michael Carrick percaya Manchester United mungkin memerlukan tiga pemain untuk mengawal pergerakan Cristiano Ronaldo.
Carrick berkata, penyerang Real Madrid berusia 28 tahun itu pasti memainkan peranan besar pada pusingan kedua Liga Juara-Juara awal pagi di Bernabeu.

Carrick mendedahkan Red Devils kini bekerja keras untuk mengekang bekas rakan sekelab itu yang juga antara pemain terbaik di dunia.
“Setiap pemain masih mengingati Ronaldo. Apa yang dilakukannya bersama Real sangat hebat dan dia perlu dikekang.

“Saya rasa kami memerlukan dua atau tiga pemain. Dia terlalu bagus ketika beraksi untuk Real.” Carrick menganggap bekas rakan sepasukannya itu tidak bernasib baik kerana beraksi di era sama dengan bintang Barcelona, Lionel Messi yang menyaksikan aksinya agak tenggelam.

“Dia begitu hebat kerana dapat menjaringkan banyak gol dengan cepat.
“Kerana Messi, Ronaldo gagal mendapat pujian selayaknya kerana Messi sudah mendominasi segala-galanya.

“Tetapi ia tidak dapat menafikan sumbangan besarnya di Real. Ronaldo adalah seorang pemain yang istimewa,” kata pemain tengah England berusia 31 tahun itu.
Bagaimanapun, jika Carrick agak bimbang dengan kelincahan Ronaldo pada perlawanan pertama pusingan kedua itu, rakan sepasukan, Rio Ferdinand yakin bintang Portugal itu tidak mungkin berjaya mempengaruhi corak permainan.

Ferdinand berkata, memori beraksi di United pasti masih diingati Ronaldo.

“Ia pasti perlawanan yang agak beremosi untuk Ronaldo serta memori yang hebat untuknya.

“Dia mempunyai penyokong setia dan pastinya Ronaldo serta penyokongnya saling menghormati satu sama lain,” katanya. - Agensi
Sumber : Harian Metro
Reply To This Comment

Thursday, 7 February 2013

Henti spekulasi isu kelab Beira-Mar: Tengku Abdullah

Rompin: Hentikan spekulasi mengenai keputusan mengejut Nazmi Faiz Mansor (gambar) kembali ke tanah air, kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Biarpun agak terkejut dengan tindakan pemain muda itu meninggalkan kelab divisyen satu Portugal, SC Beira-Mar untuk beraksi di Liga Super bersama PKNS FC, beliau berkata, Nazmi pastinya mempunyai sebab tersendiri sehingga memaksanya kembali bermain di negara ini. 

Hal peribadi 

“Mungkin ia membabitkan hal peribadi tapi saya mahu semua jangan buat spekulasi. Saya belum berjumpa dengan dia lagi. Saya berharap jangan kita cepat kritik dia sehingga seolah-olah dia cepat putus asa. 

“Jika ada tawaran lagi untuk bermain di luar negara, harapan saya supaya dia dapat membuat pertimbangan kerana usianya masih muda,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Teluk Gading di sini semalam.

Tidak bazir bakat
Selain itu, Tengku Abdullah mahu Nazmi untuk kekal fokus dan sentiasa berusaha meningkatkan tahap permainannya supaya bakat besar yang ada tidak disia-siakan.

Beliau turut menasihatkan pemain muda lain yang menerima tawaran bermain dengan kelab bola sepak di luar negara supaya mengambil peluang berkenaan dengan sebaiknya.

“Jika dapat tawaran itu, jangan ada perasaan takut nak tinggal rumah dan keluarga kerana bermain dengan kelab luar boleh memberikan banyak pengalaman berharga,” katanya.


Sumber : Berita Harian
Reply To This Comment

Monday, 4 February 2013

Aguero hukum Reina

pix_topright 
MANCHESTER: Sergio Aguero menyelamatkan Manchester City dengan jaringan di penghujung perlawanan untuk membantu pasukannya seri, 2-2, apabila menentang Liverpool, awal pagi tadi.
Bagaimanapun, jika keadaan ini berterusan dan jika tertinggal dua mata akan membuatkan juara bertahan itu sukar untuk mengejar Manchester United bagi mengekalkan kejuaraan. 
Rembatan `volley' Steven Gerrard pada minit ke-73 bagaikan memberi gambaran Liverpool bakal membawa pulang tiga mata dari Stadium Etihad tapi Aguero melakukan kejutan dengan jaringan penyamaan enam minit kemudian. 

City yang berada di depan menerusi jaringan Edin Dzeko terkejut apabila bekas penyerangnya Daniel Sturridge menyamakan kedudukan hasil rembatan jarak jauh.
Foto

United kini memiliki kelebihan sembilan mata berbanding City dengan baki 13 perlawanan selepas ketinggalan empat mata terutama selepas perlawanan dengan QPR yang berkesudahan seri 0-0.

Liverpool sehingga ini masih belum dapat menumpaskan pasukan teratas liga tetapi gandingan Sturridge dan Suarez membuatkan pertahanan City yang kehilangan Vincent Kompany berdepan pelbagai masalah. 

Gol kesebelash Dzeko bagi kempen musim ini muncul apabila dia menolak masuk kemas untuk jaringan pertama City hasil hantaran silang berpunca daripada David Silva dan Milner. 

Sementara itu, Liverpool yang tidak putus menyerang memperoleh gol penyamaan menerusi Sturridge yang menerima umpanan daripada Seteven Gerrard. 

City yang kelihatan tidak kemas di bahagian belakang hampir dihukum apabila Pablo Zabaleta yang cuba meleretkan bola kepada Hart yang hampir mencecah gawang sendiri. 

Akhirnya, Aguero yang berjaya lolos selepas menerima hantaran Gareth Barry, memperdaya Pepe Reina dan menendang masuk gol penyamaan di minit akhir perlawanan. 


KEPUTUSAN:

Man City 2 (Dzeko 23, Aguero 78) - Liverpool 2 (Sturridge 29, Gerrard 73)
Sumber : myMetro
Reply To This Comment

Fakri tidak ikut jejak Nazmi Faiz

FAKRI (kiri) kini menyertai kelab Divisyen Tiga Portugal, Atletico S.C. selama enam bulan.


PENYERANG muda negara, Ahmad Fakri Saarani menafikan khabar angin bahawa dia bakal mengikuti jejak langkah rakan sepasukannya, Muhammad Nazmi Faiz Mansor pulang semula ke Malaysia dalam tempoh terdekat.
Fakri, 23, yang menyertai kelab Divisyen Tiga Portugal, Atletico S.C. selama enam bulan sejak bulan lalu memberitahu, spekulasi yang ketika ini tersebar meluas di laman sosial ternyata tidak berasas.
Ia rentetan daripada tindakan Nazmi Faiz , 19, yang juga 'rakan seperguruannya' di Portugal yang sah meninggalkan S.C. Beira Mar setelah menandatangani kontrak bersama Selangor PKNS kelmarin.
Disebabkan itu, nama Fakri juga disebut-sebut bakal kembali ke tanah air apabila dia dikatakan menyertai skuad Terengganu ketika pendaftaran pemain Liga Malaysia dibuka semula pada April depan.
"Ingin saya tegaskan di sini, khabar angin yang mengatakan saya bakal kembali beraksi di Malaysia tidak benar sama sekali.
"Saya teruja menimba ilmu di Portugal dan akan kekal di sini," katanya menerusi Twitter peribadinya semalam.
Untuk rekod, Fakri sebelum ini pernah ditawarkan kontrak yang sama oleh Atletico S.C. melalui ejennya, Marco Guimares pada Ogos lalu tetapi terpaksa ditolak kerana terlibat dengan komitmen Piala Malaysia dan kempen Piala Suzuki AFF.
Difahamkan, Fakri juga pernah mendapat tawaran daripada sebuah kelab Divisyen Satu di Portugal, namun dia lebih cenderung menyertai Atletico S.C. kerana dikatakan memiliki peluang lebih cerah untuk diturunkan pengendali kelab itu, Paolo Simao.
Pengurus peribadi Fakri, Faisal Zakariah dilapor berkata, pemain kelahiran Kelantan itu hanya akan kembali ke tanah air ketika saingan liga domestik Portugal berakhir Mei depan.
"Fakri boleh pulang ke Malaysia sementara menunggu musim baharu bermula dan apabila bermulanya musim baharu nanti, Fakri akan kembali ke sana," kata Faisal.
Mengulas lanjut, Fakri memberitahu, ketika ini dia sedang giat menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukannya di Atletico S.C. dan berazam memburu tempat dalam kesebelasan utama.
"Alhamdulillah, saya berjaya membuat hantaran buat rakan-rakan sepasukan, cuma belum ada rezeki buat saya untuk menjaringkan gol," kata Fakri.
Kelmarin, Nazmi Faiz mengejutkan ramai pihak apabila menyertai Selangor PKNS biarpun kontraknya bersama Beira Mar sepatutnya berakhir tiga tahun lagi.
Begitupun, ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar kelmarin, Nazmi Faiz tetap bersikap 'kunci mulut' dan enggan mengulas lanjut punca utama dia meninggalkan kelab Portugal yang disertainya pada Mei 2011 itu.
Sumber : Kosmo
Reply To This Comment

Sunday, 3 February 2013

Bekas pemain Selangor Ezmi kembali ke rahmatullah

Mohd Ezmi Mad Jan
Kanser dialami merubah wajah Mohd Ezmi.
BATANG KALI - Bekas pemain bola sepak Selangor, Mohd Ezmi Mad Jan, 36, yang menderita akibat barah hidung meninggal dunia jam 1.43 pagi tadi.

Allahyarham meninggal dunia di rumahnya di Kampung Sentosa setelah dilaporkan muntah darah lewat petang semalam dan menghadapi masalah untuk membuang air besar.
Bapanya, Md Jan Nipang, 67, berkata, tahap kesihatan anak sulungnya itu menurun sejak sebulan lalu dan tidak menjamah makanan dalam tempoh tersebut menyebabkan berat badannya susut.
"Semalam lebih kurang jam 5.15 petang Mohd Ezmi mengalami muntah darah yang banyak dan tidak berhenti sehingga jam 8 malam.

"Selepas dilihat reda, dia sekali lagi muntah darah sampailah habis waktu Isyak kemudian dia direhatkan selepas itu," kata beliau ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Batang Kali di sini.
Katanya, melihat keadaan Mohd Ezmi yang tidak stabil ahli keluarnya bersilih ganti menjaganya.

Menurutnya, kira-kira jam 12.30 tengah malam Mohd Ezmi mengadu mahu membuang air besar dan dipapah ke bilik air, namun terjatuh di bilik air.
"Saya memapahnya kembali ke katil tapi dia tidak dapat buang air besar ketika itu.
"Lebih kurang jam 1 pagi dia sekali lagi mahu buang air besar tapi disebabkan keadaannya yang tidak bermaya, kami hanya sediakan besen untuknya membuang air di tepi katil. Tapi selang setengah jam Mohd Ezmi disahkan meninggal dunia," katanya.
Katanya, jenazah anaknya selamat dikebumikan kira-kira jam 11 pagi tadi.

Turut hadir ke tanah perkuburan tersebut, bekas rakan sepasukan arwah, Aiman Firdaus Tan, 36, bersama kira-kira 30 rakan lain yang bersama-sama dalam pasukan bawah 20 tahun Selangor dahulu.
Allahyarham Mohd Ezmi menghidap barah hidung sejak lima tahun lalu dan telah menjalani pembedahan serta melalui beberapa rawatan susulan di hospital termasuk kaedah tradisional.

Beliau pernah bermain dengan pasukan Selangor sebagai ketua pasukan, Perlis dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan merupakan bekas kakitangan MPSJ.
 Sumber : Sinar Harian
Reply To This Comment